Monday 20 June 2011

akhlak karimah

Risalah   Masjid   al Hidayah   Telok  Panglima  Garang:  Unit  Dakwah  dan  Tarbiah                              Edisi  Jumaat            8  REJAB      1432 H    10  JUN      2011. Tel: 019 2068562
Sidang Jumaat yang dimuliakan , pada minggu lepas kita telah membicarakan sedikit tentang akhlak karimah Nabi Muhammad saw yang menjadi contoh ikutan dari segi keperibadian dan amal. Baginda merupakan model ikutan manusia sepanjang zaman. Kita seharusnya mencontohi baginda Rasul dalam menjalani kehidupan ini. Baginda pernah bersabda:
إنما بعثت لأتمما مكارم الأخلاق  maksudnya: sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Justeru kebaikan dalam akhlak merupakan tuntutan sunnah Nabi. Akhlak yang mulia penyeri diri. Akhlak terpuji mencerahkan wajah yang hitam ataupun yang cerah. Akhlak mahmudah memikat hati rakan taulan maupun musuh. Ini kerana akhlak karimah memiliki keindahan. Semua orang tertarik kepada keindahan. Segala yang cantik itu  indah.  Dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah berfirman: Allah itu indah (cantik) dan Ia menyukai keindahan.
Berhati-hati dalam gerak-geri serta tutur kata mencerminkan keadaan seseorang yang sentiasa menjaga tingkah lakunya agar tidak terjerumus kepada akhlak mazmumah. Akhlak tercela dibenci oleh semua orang. Tutur kata yang jelek tidak disukai orang. Tingkah laku yang biadab menyebabkan orang meluat. Pendek kata segala perlakuan yang tidak senonoh merupakan akhlak yang tercela. Orang benci kepada akhlak yang buruk. Apatah lagi Allah sangat benci kepada segala bentuk akhlak yang tercela ini. Allah sudah paparkan dalam diri Rasulullah akhlak mahmudah. serta menghiasinya dengan keindahan akhlak yang disenangi oleh semua manusia baik kawan maupun lawan. Musuh Rasulullah hanyalah musuh aqidah. Orang musyririkin memusuhi Rasulullah hanya setelah mengetahui ajakan Rasulullah agar beriman kepada Allah dan menjauhkan segala bentuk syirik dan persekutuan terhadap Allah swt.
Sebuah persoalan besar yang menjadi  salah satu kelemahan utama umat Islam pada saat ini adalah tidak adanya kebiasaan dan budaya pendidikan atau tarbiah dalam kehidupan seharian mereka. Ketiadaan tarbiyah pada umat Islam sama halnya dengan ketiadaan kekuatan ruh yang menjiwai aktiviti kehidupan seharian. Sedangkan generasi semasa Rasulullah adalah generasi yang menjadikan tarbiyah sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Mereka adalah generasi rabbani yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya sebagaimana firman Allah dalam surah ali-Imran ayat 79: tetapi jadilah kalian orang-orang Rabbani disebabkan kamu selalu mengajarkan al-Quran dan disebabkan kamu sentiasa mempelajarinya.
Umat Islam hari ini sudah sangat jarang berinteraksi dengan al-Quran malah semakin menjauhinya. Akibat menjauhi al-Quran, maka akan menjauhi tarbiyah yang menyebabkan hilangnya kekebalan Islam. Bererti pula mereka telah kehilangan kekebalan dalam menghadapi pelbagai serbuan dari kaum kafir dan musyrik yang menggunakan pelbagai pola dan sistem untuk menghancurkan umat Islam. Ini menjadikan mereka alpa dengan kemuliaan akhlak yang ditunjukkan contoh oleh Baginda Rasul saw. Sebaliknya mereka terdedah pula kepada akhlak mazmumah akhlak tercela yang dibenci oleh Allah dan manusia.
Pembaca  budiman,
Hal utama yang mesti dilakukan oleh umat Islam pada saat ini adalah berusaha semaksima mungkin untuk kembali kepada ajaran Islam, yang dimulai dengan diri sendiri, keluarga dan selanjutnya terbentuknya masyarakat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran agama Islam. Hal ini seperti yang difirmankan Allah dalam surah ali-Imran ayat 102: “Hai orang-orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan berserah diri (Islam)”. Tarbiyah adalah solusi yang mampu menyelamatkan muslim sekaligus menjadi media poembentukan peribadi, keluarga dan masyarakat Islam. Tarbiyah merupakan satu kewajipan dari Allah kepada umat Islam untuk mengajak manusia kembali kepada Islam.  Untuk itu pastinya perlukan alim ulama’ yang ikhlas untuk memperjelas Islam kepada masyarakat dalam bentuk yang sejelas-jelasnya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 104: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat yang mengajak kepada kebaikan yang menyuruh mengerjakan yang makruf dan mencegah dari yang munkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung”.
Lebah merupakan simbol  kerjasama dalam memberikan kebaikan dan manfaat kepada orang lain. Sedangkan lalat simbol kekotoran. Meskipun ia  singgah juga pada makanan maupun sampah sarap. lalat sentiasa dihambat, dicipta pemukul membunuh lalat. Sebaliknya lebah menghasilkan madu yang berkhasiat menyembuhkan pelbagai penyakit. Madu dijual beratus ringgit. Pendapatan lumayan hasil perniagaan madu. Kedua-dua simbol lebah dan lalat merupakan tamsil kepada manusia. Jadilah seperti lebah tapi jangan jadi seperti lalat. Yang manis hanyalah tahi lalat.
Setelah memiliki persepsi yang benar tentang tarbiyah, maka langkah selanjutnya adalah berinteraksi dengan Islam dalam empat bentuk:
1. Interaksi dengan hati yang membentuk aqidah. Ikhlas menghambakan diri kepada Allah dan menolak segala bentuk kezaliman. Syirik merupakan kezaliman yang besar.
2. Interaksi dengan akal membentuk pemikiran atau fikrah. Tanda-tandanya menjadikan al-Quran sebagai landasan berfikir.
3. Interakasi dengan perasaan membentuk kesedaran Islam. Tanda-tandanya menyukai hal-hal yang mendekatkan manusia kepada Allah dan membenci hal-hal yang menjauhkan diri kepada Allah.
4. Interaksi dengan perbuatan yang melahirkan akhlak yang lurus dan terpuji. Ini ditandai dengan tingkah laku yang sesuai dengan tuntutan al-Quran.
Keempat-empat bentuk interaksi ini diharapkan dapat melahirkan tokoh yang menjadi contoh teladan di tengah kehidupan umat.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Manusia adalah makhluk Allah yang berani untuk menerima dan memikul amanah yang mana sebelumnya amanah ini telah ditolak oleh langit, bumi dan gunung - maksud surah al Ahzab ayat 72. Manakala surah al Baqarah ayat 30 pula menyatakan kehadiran manusia di muka bumi tidak lain adalah sebagai khalifah dan untuk beribadah kepada Allah (surah al-Zariyat ayat 56). Maka manusia diberikan kesempurnaan ( surah infitaar ayat 6 – 8) . Secara ringkas manusia memikul dua amanah yaitu amanah risalah yang terkait dengan tujuan penciptaan manusia dan amanah wazifah yang terkait dengan tugas dan fungsi manusia diciptakan.

Pembaca yang dimuliakan,
Tujuan tarbiyah secara umum adalah membentuk keperibadian yang taat beribadah kepada Allah dengan  memperhambakan diri. Juga sebagai pemakmur bumi sesuai fungsinya sebagai khalifah di mana kegiatanya itu berdasarkan peraturan yang datangnya dari Allah. Mereka adalah manusia yang terbebas dari penghambaan manusia terhadap manusia lain dan terbebas dari kekangan hawa nafsu. Langkah awal membina keperibadian ini ialah membentuk persepsi melalui tiga kriteria:
1. Jelas. Memahami Islam dalam bentuk yang jelas tanpa harus berbelit-belit memahaminya.
2. Benar. Menyampaikan Islam seperti yang difahami oleh para salafus soleh.
3. Menyeluruh. Tidak menyampaikannya sebahagian dan kemudian dicampur dengan kebatilan. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 208: Hai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.
Pendidikan Islam memberikan persepsi yang jelas terhadap Islam yang benar dan menyeluruh. Bahaya yang timbul jika  memahami Islam secara sebahagian akan mengakibatkan bid’ah, khurafat, tahyul dan berbagai percanggahan yang lain. Di samping itu bahaya memahami Islam secara sebahagian  adalah Islam akan terasing dari arena kehidupan bila-bila masa dan di mana-mana tempat sahaja.
Dasar pembentukan keperibadian Muslim adalah pendirian, keyakinan, pemikiran, perasaan, perilaku dan watak. Yang mendasarinya adalah aqidah Islamiyah. Di dalam keperibadian muslim tersimpan kekuatan moral. Hal ini seperti dicontohkan pada kisah Thalut di dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 249. Kekuatan moral yang lahir dari peribadi yang memiliki iman yang kuat. Kekuatan ini juga menampilkan sosok yang memiliki harga diri.
Justeru marilah kita membina keperibadian yang unggul yang didasari oleh aqidah Islam yang kukuh untuk memastikan penerusan generasi kita yang berwibawa dan memiliki harga diri. Yang penting kita berusaha membebaskan cengkaman dosa yang mengakibatkan kesudahan yang buruk yakni neraka Allah yang sangat dahsyat, pedih dan siksa serta sengsara. Nauzubillahi min zalik.



No comments:

Post a Comment