Thursday 23 June 2011

taqwa sifat mukmin yang mencintai akhirat

Risalah   Masjid   al Hidayah   Telok  Panglima  Garang:  Unit  Dakwah  dan  Tarbiah         Edisi  Jumaat        22  REJAB   1432 H  bersamaan  24  JUN  2011   Tel: 019 2068562
Taqwa sifat Mukmin yang mencintai akhirat
Bagi seorang  Mukmin , kehidupan itu tidaklah dihitung dengan jumlah tahun dan hari yang telah dilaluinya. Namun dihitung dengan prestasi yang dicapainya dalam pergantian waktu tersebut. Apakah ia bersyukur kepada Allah  atau sebaliknya.
يايها الناس اعبدوا ربكم الذي خلقكم والذين من قبلكم لعلكم تتقون             
                  Terjemahannya: wahai manusia ! sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.
                                                          Surah al-Baqarah: ayat 21

Seruan Allah terhadap seluruh manusia agar menyembah Allah sepertimana yang pernah dilakukan oleh umat sebelum Muhammad lagi. Inilah merupakan langkah menuju taqwa. Mukmin yang menyerahkan seluruh kehidupan dalam ketaatan dan penuh taabud adalah mukmin yang bertaqwa. Taqwa merupakan pakaian mukmin khususnya mukmin yang hidupnya mencintai akhirat. Mereka yang bertaqwa ditempatkan di dalam syurga Allah yang kekal abadi dipenuhi dengan ketenangan dan kemewahan.  Rasulullah pernah bersabda:
     أكثر ما يدخل الناس الجنة تقوى الله وحسن الخلق وأكثر ما يدخل الناس النار الفم والفرج
Terjemahannya:Hal yang paling banyak membuat manusia masuk syurga adalah ketaqwaan kepada Allah dan akhlak yang baik. Sedang yang paling banyak menyebabkan orang masuk neraka adalah mulut dan kemaluan.

Allah berfirman dalam surah al-Zalzalah: “apabila bumi digoncangkan  dengan goncangan ( yang dahsyat).”  Allah  menyebutkan  bahawa apabila bumi dan semua penghuninya telah digoncang sehingga terjadi gempa dari segala penjuru baik di timur maupun barat, terus menghancurkan gunung dan bangunan yang berada di permukaannya. Bumi tidak akan menjadi tenang sebelum dia menelan segala sesuatu yang ada di atasnya. Keadaan ini terjadi setelah kebenaran terhapus, sedangkan kebatilan terangkat, orang meninggalkan amar makruf nahi mungkar, haram dianggap halal, kezaliman bermaharaja lela, manusia berpaling dari jihad. Tidakkah kita ngeri dengan suasana kelam kabut kiamat ini. Yang pasti kiamat pasti terjadi. Apakah kehidupan dunia masih lagi kita letakkan di priority utama tanpa berusaha untuk bekal akhirat.
Semua yang hidup pasti merasai mati. Yang terakhir mati adalah malaikat maut. Bila dicabut nyawa oleh Rabbnya , malaikat maut menjerit sekuat hati seolah hampir mematikan semua yang hidup sekiranya mendengar jeritan itu. Namun Allah sudah mematikan semua yang hidup sebelum dimatikan malaikat maut itu. Sekali lagi gerun jika kita saksikan suasana tersebut. Persoalannya adakah hidup di dunia ini kekal? Tidakkah tergerak untuk kita berusaha untuk berbekal menuju kehidupan akhirat?
Seterusnya mari kita tinjau keadaan jahanam. Jika Allah datangkan jahanam, maka ia datang dengan membawa malapetaka yang sangat besar dan rasa takut yang mencengkam. Dari Jahanam itulah keluar api yang menyambar-nyambar. Dari dalamnya juga terdengar suara rantai yang dibuat dari besi. Apabila neraka jahanam semakin dekat dengan semua makhluk, pasti mereka boleh mendengar gemersik kobaran api yang mengerikan dan melihatnya menyala-nyala. Jika jahanam melihat orang pembuat maksiat,lalu dia berkobar, mendidih dan hendak menerkamnya. Jahanam menjadi marah dan ingin mengejar. Tidakkah kita takutkan jahanam yang ganas dan mengerikan. Di sini kita dapat pengajaran bahawa neraka akan membaham pelaku maksiat. Untuk itu mukmin pasti berusaha menghindari diri dari melakukan maksiat kerana takutkan azab yang bakal menimpa pelaku maksiat di akhirat kelak.
Orang yang kafir menyatakan kekufurannya baik dalam keadaan senyap maupun di tengah ramai. Sedangkan orang munafik adalah orang yang kufur di waktu bersendirian dan mengaku beriman ketika ditengah ramai. Dia beriman  di lisannya namun kufur di dalam hatinya. Dalam al-Quran Allah berfirman, “Tempat kamu semua (orang-orang munafik) adalah neraka.”  Keadaan di hari akhirat nanti, di mana orang-orang munafik ini akan cuba menoleh ke belakang, mereka akan melihat terowong. Lalu masuk ke dalam terowong itu dengan sangkaan di sana ada cahaya. Ternyata terowong itu menjerumus mereka ke pintu-pintu jahanam. Lantas para malaikat menyambar mereka dengan besi-besi yang bengkok hujungnya. Lalu menjerumuskan mereka ke jahanam melampaui pintu-pintu hingga akhirnya ke kerak neraka paling bawah sekali. Setiap kali api sumur ini memakan daging orang-orang munafik, maka Allah akan memperbaharui daging mereka menjadi elok seperti sedia kala. Inilah merupakan Azab yang paling ketara seharusnya menggetarkan hati-hati apabila membacanya. Pasti sifat orang mukmin berusaha mengelakkan diri dari terjerumus kepada sifat munafik yang membawa padah ini.
Bagi orang-orang mukmin yang jumlah amal kebaikannya sama dengan perbuatan buruk, mereka akan berjalan di atas sirath dengan disinari oleh cahaya dengan kadar yang mereka miliki. Terdapat juga sekelompok manusia yang ditahan di atas sirath,kerana cahayanya sedikit dan akhirnya pelitanya padam. Mereka menunggu rahmat Allah untuk memasukkan mereka ke dalam syurga. Manakala penghuni syurga mengenakan perhiasan dan pakaian serta memakai mahkota di atas kepala. Rasulullah sujud di hadapan Allah memohon syafaat bagi mereka yang tertahan di atas sirath. Firman Allah dalam surah al-Tahrim ayat 8:”Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami, sesungguhnya engkau Maha kuasa atas segala sesuatu.” Lalu Allah mengutuskan malaikat datang membawa cahaya dari syurga ‘Adn.
Justeru perlunya kita sering muhasabah perjalanan hidup kita apakah selama ini kita memiliki sifat mukmin yang mencintai akhirat. Dalam surah al-Nahl ayat 97, Allah berfirman: “Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” Maka jika kita mendapati diri kita tenggelam dalam kelemahan, kekesalan, kesedihan tanpa iman, berusahalah memperbaikinya. Datangkan sikap membenarkan Kitabullah dan mengikuti ajarannya secara istiqamah dalam menghabiskan sisa-sisa hayat yang ada ini.
Mukmin yang mencintai akhirat adalah yang sering mengingati Allah. Sepertimana hadis Rasul:”Perumpamaan orang yang mengingati Tuhannya dan yang tidak mengingat Tuhannya adalah seperti orang yang hidup dan orang yang mati.” Mereka berdoa memohon seolah-olah sedang berdailog dengan Allah menyampaikan rasa permohonan ketika mana menyedari akan kelemahan diri, rasa tidak berdaya, fakir di hadapan Allah yang Maha Mulia serta merasa yakin doa dikabulkan. Yang paling pasti mukmin ini sering memanjatkan istighfar. Inilah yang sering dilafazkan orang beriman sebaik selesai beribadah, setiap selesai beramal, setiap selesai pertemuan bersama orang lain. Apa ditunggu lagi, jom kita jadi mukmin yang mencintai akhirat.




No comments:

Post a Comment