Monday 20 June 2011

konsep ibadah


وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون
Tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah.
                                                                                             Surah al-Zariyat: ayat 56

إن الحكم إلا لله. أمر أن لا تعبدوا إلآ إياه. ذلك الدين القيم
Tiada hukum melainkan kepunyaan Allah. Ia memerintahkan kamu agar jangan beribadah melainkan kepadaNya. Itulah sahaja Din yang lurus.
                                                                                             Surah Yusof: ayat 40

Kedua-dua  ayat di atas merupakan dalil yang kuat perlunya beribadah kepada Allah. Setiap detik dalam hidup ini adalah ibadah. Itu tujuan manusia  diciptakan iaitu beribadah kepada Allah.

Persoalannya bagaimana untuk menjadikan hidup ini setiap detik dikira beribadah kepada Allah.
Terdapat dua kaedah penting iaitu:
1.      Ibadah hanya kepada Allah adalah daripada pengakuan :  لإ اله إلا الله   “ bahawa tiada Ilah melainkan Allah”
2.      Menerima cara beribadah daripada Rasulullah melalui pengakuan :   محمد الرسول الله  “bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah.”
Segala urusan hidup diniatkan untuk Allah. Makan untuk mendapatkan tenaga supaya dapat menunaikan ibadah solah contohnya. Bekerja mencari rezeki yang halal adalah juga dikira sebagai ibadah. Begitu juga belajar yang diniatkan kerana Allah adalah juga sebagai ibadah. Memasak makanan untuk suami dan keluarga yang juga diniatkan kerana Allah adalah ibadah. Setiap langkah perjalanan ke masjid untuk menunaikan solah adalah ibadah. Jual beli yang diniatkan kerana Allah adalah ibadah. Pendek kata segala urusan hidup yang diniatkan kerana Allah menjadi ibadah.
Selain ibadah diniatkan ikhlas kerana Allah ibadah yang dilakukan juga mestilah menepati kehendak syarak. Iaitu sepertimana yang diajarkan oleh nabi cara melakukan ibadah tersebut. Sepertimana sabda Rasul: صلوا كما رأيتموني أصلي   “ Solatlah sepertimana kamu lihat aku solat.” Melalui hadis ini kita disarankan agar melakukan ibadah seperti mana Rasulullah melakukannya tanpa ada tokok tambah. Surah al-Nisa’ ayat 80: Allah mengingatkan kita agar mentaati Rasul. Ini kerana dengan mentaati Rasul juga adalah dikira mentaati Allah.  من يطع الرسول فقد أطاع الله   “Sesiapa yang taatkan Rasul sesungguhnya ia taatkan Allah”
Peribadatan untuk Allah dalam setiap detik kehidupan adalah kemampuan seseorang menjaga hubungan dengan Allah pada setiap ketika. Hubungan ini adalah merupakan iman yang terpancar dari keyakinan hati dan dibenarkan dalam amalan. Beriman dengan mempercayai akan keesaan Allah, menjadikan Allah tempat meminta pertolongan, menjadikan Allah tempat menyerah diri dan mengadu hal, serta meyakini segala sesuatu, manfaat atau musibah datangnya dari Allah.
Segala apa yang ada di langit dan di bumi, adalah milik Allah swt. Merasai kita adalah makhluk, sedangkan Allah adalah Khaliq. Juga merasai kita adalah hamba sedangkan Allah adalah Tuan. Hubungan di antara yang tidak memiliki dengan yang memiliki, makhluk dengan khaliq, hamba dengan Tuan akan membuahkan rasa keimanan yang meresap ke lubuk hati lalu mencerna  ke seluruh bisikan jiwa, mendorong keinginan roh, menghalakan kecenderungan fitrah, menggerakkan seluruh jasmani dan tindakabalas pancaindera baik ketika bersendirian maupun ketika berdepan dengan orang ramai.  والله  أعلم بالصواب   

No comments:

Post a Comment