Monday 20 June 2011

PERBEZAAN KETARA ANTARA ORANG BERIMAN DENGAN ORANG TIDAK BERIMAN


وما يستوى الاعمى والبصير. ولا الظلمت ولا النور. ولا الظل ولا الحرور. وما يستوى الاحياء
ولا الاموات. إن الله يسمع من يشاء. وما انت بمسمع من فى القبور. إن انت  الا نذير.                                                                                 
“Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat. Dan tidak pula sama gelap gelita dengan cahaya. Dan tidak pula sama yang teduh dengan yang panas. Dan tidak pula sama orang yang hidup dengan orang yang mati. Sesungguhnya Allah memberikan pendengaran kepada sesiapa yang dia kehendaki dan engkau Muhammad tidak akan sanggup menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar. Engkau tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan.”
                                                                                Surah Faatir: ayat 19-23

              Marilah kita merenung perbezaan di antara orang beriman dengan orang yang tidak beriman di dalam Surah al Faathir ayat 19: Allah menyatakan bahawa tidak sama orang buta dengan orang celik. Bahkan tidak juga sama gelap dan terang. Begitu juga tidak sama di antara yang berada di tempat teduh dengan tempat yang panas terik yang bersangatan dengan tempat yang tiada tempat berteduh. Allah juga menyatakan bahawa orang yang hidup tidak sama dengan orang yang mati.

مثل الفريقين كالاعمى والاصم والبصير والسميع. هل يستوين مثلا. افلا تذكرون.                 
“Perumpamaan kedua-dua golongan (orang kafir dan mukmin) seperti orang buta dan tuli dengan orang yang dapat melihat dan dapat mendengar. Samakah kedua golongan itu? Maka tidakkah kamu mengambil pelajaran?”
                                                                             Surah Hud: ayat 24                                         
Dalam Surah Hud ayat 24: “Allah mengumpamakan dua golongan manusia yakni orang  kafir dan orang mukmin. Orang kafir  adalah seperti orang buta dan tuli. Manakala orang mukmin pula diumpamakan seperti orang yang dapat melihat dan dapat mendengar.



اومن كان ميتا فاحيينه وجعلنا له نورا يمشي به فى الناس كمن مثله في الظلمت ليس بخارج منها
“dan apakah orang yang sudah mati lalu kami hidupkan dan kami beri dia cahaya yang membuatnya dapat berjalan di tengah-tengah orang banyak, sama dengan orang berada dalam kegelapan, sehingga dia tidak dapat keluar dari sana?”
                                                                           Surah al-An’am: ayat 122
Marilah pula kita merenung surah al-Ana’am ayat 122: Allah juga mengumpamakan orang beriman adalah bagaikan orang yang Allah hidupkan setelah mati lalu Allah beri cahaya kepadanya dan dia boleh berjalan di tengah-tengah masyarakat.  Sedangkan orang yang tidak beriman ini adalah orang yang Allah hidupkan setelah matinya tetapi Allah biarkannya dalam kegelapan kerana Allah tidak berikan cahaya kepadanya, lalu mereka tidak boleh keluar dari kegelapan tersebut.
Dari ketiga-tiga ayat di atas, dapatlah kita faham bahawa ciri-ciri orang beriman adalah seperti berikut:
1.      Orang beriman ialah orang yang celik.
2.      Orang beriman berada di tempat terang.
3.      Orang beriman berada di tempat teduh.
4.      Orang beriman adalah orang yang hidup
5.      Orang beriman dapat melihat dan dapat mendengar.
6.      Orang beriman adalah orang yang Allah hidupkan setelah mati dan Allah berikan cahaya kepadanya lalu dia boleh berjalan dengan cahaya itu.
Sedangkan ciri-ciri orang tidak beriman adalah seperti berikut:
1.      Orang yang tidak beriman adalah orang yang buta.
2.      Orang yang tidak beriman berada di tempat gelap.
3.      Orang yang tidak beriman berada di tempat yang panas terik yang bersangatan tanpa naungan.
4.      Orang yang tidak beriman adalah orang yang mati.
5.      Orang yang tidak beriman adalah orang yang buta dan tuli.
6.      Orang yang tidak beriman adalah orang yang Allah hidupkan setelah mati dan Allah biarkan ia dalam kegelapan kerana tidak diberikan cahaya kepadanya, lalu dia tidak boleh berjalan kerana kegelapan itu.
Justeru kedua-dua orang beriman dan orang yang tidak beriman mempunyai perbezaan yang amat ketara. Sifat dan ciri yang dimiliki oleh kedua-dua golongan ini sangat jelas dan boleh dikenal pasti.
Orang yang beriman dapat melihat segala tingkah laku Nabi. Bahkan orang beriman juga dapat mendengar segala ajaran Nabi. Dengan sebab itu orang beriman mudah mengikuti segala ajaran yang disampaikan oleh para Nabi. Allah mewahyukan kepada Nabi agar mengajar manusia akan segala kebaikan dalam hidup. Orang beriman dapat melihat dan mendengar segala isi pengajaran dan dengan mudah pula mengikutinya. Mereka tenang dan tenteram dalam kebaikan. Bahkan mereka berlumba-lumba untuk melaksanakan kebaikan. Inilah yang dinamakan hidayah. Hidayah datangnya dari Allah. Nabi hanya memberi jalan untuk mendapatkan hidayah dari Allah. Ini sesuai dengan surah al-Fathir ayat 22: Allah memberikan pendengaran kepada siapa yang dia kehendaki.   Pendengaran di sini bermaksud hidayah. Jadi ayat ini memberitahu kita bahawa Allahlah yang berkuasa memberikan hidayah kepada sesiapa yang Allah kehendaki bukannya Nabi.  Sebagaimana bapa saudara Nabi Muhammad yaitu Abu Talib hingga akhir hayatnya tetap tidak beriman kepada Allah. Ini kerana yang berkuasa memberikan hidayah kepada Abu Thalib adalah Allah swt. Bukannya Nabi Muhammamad saw. Nabi Muhammad  diutuskan oleh Allah sebagai penunjuk jalan agar manusia dapat beriman dan bertaqwa dengan sebenar-benar iman dan taqwa.
Allah mengurniakan lima jenis hidayah kepada manusia:
1.       Hidayah Ilhami. Kanak-kanak kecil sebaik-baik lahir ke dunia terus boleh menangis dan boleh menyusu. Bukan ibunya yang mengajarkannya menangis dan menghisap susu. Allahlah yang mengilhamkan kepadanya agar boleh menangis dan menghisap susu.

2.      Hidayah hawas. Ini adalah perasan yang yang diilhamkan kepada manusia. Sebagai contoh, seorang ibu dapat merasa anak kecilnya menangis adalah disebabkan lapar dan lampinnya basah. Lalu dia bertindak menyalin lampin anaknya itu dan kemudian memberinya susu. Lalu anak itu berhenti menangis ini adalah bentuk hidayah perasaan yang dicampakkan Allah ke dalam  hati si ibu agar dapat menjaga anaknya dengan baik.

3.      Hidayah aqli. Ini ialah hidayah kepintaran dan akal yang bijaksana.

4.      Hidayah Deen (agama atau cara hidup). Ini lah hidayah petunjuk jalan kebenaran sewaktu hidup di alam dunia. Orang yang yang mendapat hidayah deen merasakan bahawa hidup di dunia  ini adalah bagaikan musafir lalu yang sedang berteduh di bawah sepohon kayu. Dia sedang dalam perjalanan yang jauh menuju akhirat. Destinasinya adalah alam akhirat. Sudah pasti dia akan mempersiap dirinya  serapi mungkin untuk bekalan menuju akhirat yang kekal abadi.

5.      Hidayah doa. Orang mendapat hidayah deen perlu berdoa agar dapat istiqamah berada di atas jalan deen ini. Allah mengajarkan kepada manusia doa yang sering dibaca di dalam solat tujuh belas kali sehari semalam yaitu:  إهدنا الصراط المستقيم   “Berilah hidayah kepada kami jalan yang lurus.”
Doa yang lain yang sering kita baca di dalam solat semasa tahiyyat akhir memohon ketetapan hati dalam deen dan taat melaksanakannya.   ثبت قلبي على دينك وعلى طاعتك  “Tetapkanlah hati kami di atas deenMu dan di atas ketaatan kepadaMu.”
Begitu juga doa qunut, di dalam nya terkandung doa memohon hidayah dari Allah yang berbunyi اللهم اهدنى فيمن هديت"

Maka, solat yang sedemikian akan menghasilkan kesan yang dapat mencegah daripada kejahatan dan kemungkaran. Ini bersesuaian dengan matlamat solat itu sendiri yaitu:  إن الصلاة تنهى عن الفحشئ والمنكر  . “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada kejahatan dan kemungkaran.”

Satu lagi doa yang baik untuk diamalkan agar dapat berkekalan dalam melaksanakan kebaikan di jalan Allah:  رب تقبل توبتي واغسل حوبتي وأجب دعوتي وثبت حجتي واهد قلبي وسدد لساني واسلل سخيمة صدري
“Ya Tuhanku terimalah taubatku, sucikanlah dosaku, perkenankanlah doaku, kuatkanlah hujjahku, kurniakanlah hidayahMu kepada hatiku, benarkanlah kata-kataku dan lenyapkanlah keburukan hatiku”.
Sebagai kesimpulan kita perlulah bersyukur kerana kita dipilih oleh Allah untuk menerima hidayah daripadaNya. Kita perlulah berdoa agar kita dapat berkekalan berada di dalam hidayahNya. Dalam surah al-Fathir ayat 23: Allah mengingatkan juru dakwah agar jelas matlamat  penyebaran agama Allah adalah sebagai pemberi peringatan dan bukanlah pemberi hidayah. إن انت إلا نذير : “Engkau tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan.”
Ini kerana Allah sahajalah yang berkuasa memberi hidayah kepada manusia. Sama sekali bukan manusia yang memberi hidayah dan petunjuk. Sekiranya manusia menolak seruan kebenaran maka ternafilah hidayah kepada mereka. Sebagaimana Nabi Nuh menyampaikan seruan kepada anak dan isterinya tetapi ditolak. Begitu juga Nabi Ibrahim menyeru ayahnya Azar agar beriman kepada  Allah, namun ditolak. Juga Nabi Musa menyebarkan dakwah kepada ayah angkatnya Firaun tetapi juga ditolak. Demikian juga nabi Muhammad menyeru bapa saudaranya yang di kasihi Abu Thalib, hingga ke akhir hayat tetap tidak mahu memeluk Islam. Namun semua peristiwa tersebut dihadapi tanpa  sedikitpun rasa kecewa. Islam tetap berkembang hingga ke akhir zaman. Seperti mana maksud ayat Allah: “Sekiranya sesuatu kaum tidak mahu menerima seruan untuk beriman kepada Allah maka Allah akan gantikan dengan kaum lain yang lebih baik daripada kamu untuk beriman kepadaNya. والله أعلم بالصواب




  


             

No comments:

Post a Comment